BAGAIMANA BARANG KEMAS ROSMAH TERLEPAS DARI KASTAM SEBELUM INI, DAN INI YANG BAKAL TERJADI

Barangan kemas dari firma Lubnan yang dihantar kepada bekas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mungkin tertakluk kepada rampasan jika ia belum diisytiharkan kepada Jabatan Kastam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata demikian ketika ditanya mengenai hantaran 44 unit barangan kemas berkenaan, yang kini ditahan oleh polis.

“Polis belum menghubungi kami. Apa-apa barang yang belum atau tidak diisytiharkan juga boleh dirampas,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Subromaniam mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana barangan kemas itu dibawa masuk tanpa melalui pemeriksaan kastam.

“Adakah konsainan ini diisytiharkan kepada Jabatan Kastam apabila dibawa masuk ke Malaysia?

“Siapakah yang menerima barangan ini? Adakah duti kastam dibayar? Bagaimana penghantaran barang-barang ini sampai kepada Rosmah dengan selamat sedangkan nilai barangan kemas ini sangat besar ini?” soal Rayer dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Malaysiakini melaporkan Global Royalty, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut isteri bekas perdana menteri itu memulangkan kembali 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dari gala mewah ke mahkamah: Pertikaian Rosmah dengan tukang emas Lubnan

KINIGUIDE | Pada Oktober 2011, isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di London untuk menghadiri satu majlis amal anjuran peniaga berlian Samer Halimeh, di hotel lima bintang Mandarin Oriental.

Ia sebuah acara yang mewah, dengan hadirin di kalangan pereka fesyen, orang kenamaan serta golongan diraja, termasuk Sultanah Pahang Sultanah Kalsom Abdullah.

Hampir tujuh tahun kemudian, Rosmah dan Samer kini di berada di pihak bertentangan di kamar mahkamah. Samer yang merupakan warga Lubnan turut serta dalam saman RM60 juta terhadapnya.

Malaysiakini menjelaskan perincian saman tersebut dan siapa yang terlibat dalam syarikat Lubnan yang memfailkannya.

Tentang saman

Saman yang difailkan firma borong emas Lubnan Global Royalty Trading SAL pada 26 Jun lalu melibatkan 44 barang kemas yang dihantar kepada Rosmah pada Februari lalu dan dirampas polis pada Mei.

Dokumen mahkamah menyatakan ia dihantar oleh Samer, yang dinamakan sebagai ejen dan penjual, selain seorang lagi individu bernama Maen Shakhshir.

Syarikat itu dijelaskan sebagai “pemborong barang kemas ternama di dunia” dengan rangkaian pelanggan termasuk golongan diraja dan kaya-raya seluruh dunia. Rosmah juga disifatkan sebagai pelanggan lama syarikat itu.

Global Royalty mendakwa ia menghantar barang kemas atas permintaan Rosmah untuk dinilainya. Barangan terpilih kemudian akan dibayar olehnya atau pihak ketiga. Barang kemas yang tak terpilih pula akan dipulangkan semula, kata syarikat itu.

Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa ia sebagai pemilik berhak ke atas 44 barang kemas yang dirampas polis dan mahu mendapatkan arahan mandatori agar ia dipulangkan semua, atau untuk Rosmah membayar berdasarkan nilainya.

Tentang Global Royalty

Pada masa ini tak banyak yang diketahui tentang Global Royalty, walaupun syarikat itu menyifatkannya sebagai “terkenal seluruh dunia”.

Tidak banyak maklumat tentangnya di internet, walaupun Malaysiakini berjaya mengesan nama syarikat itu dalam daftar komersial kerajaan Lubnan.

Alamat syarikat pada daftar itu sama seperti yang terdapat dalam dokumen mahkamah.

Menurut daftar itu, Global Royalty didaftarkan pada 1 November 2017.

Syarikat itu, antara lain, disebut sebagai “menjalankan operasi komersial di Lubnan dan luar negara” serta “menjalankan perniagaan hartanah daripada pembelian dan sewaan apartmen dan kedai”.

Perniagaan barang kemas tidak disebut secara khusus.

Pemegang saham terbesar dan ketua pengarah syarikat bernama “Lina Hassib Halimeh”.

Tidak banyak maklumat lain yang ditemui tentang syarikat misteri ini serta individu bernama Maen Shakhshir.

Bagaimana dengan Samer? Siapakah dia?

Tidak seperti Global Royalty, maklumat tentang Samer dapat ditemui di internet. Dia memiliki akaun Facebook, Twitter dan Instagram serta laman web sendiri.

Semakan di akaun instagramnya juga menunjukkan dia bukan saja bertemu Rosmah dan Sultanah Pahang, malah Yang di-Pertua Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Monaco pada Mei 2014.

Lahir di Beirut, Lubnan, ketika kemuncak perang saudara negara itu, laman web Samer menyifatkan dirinya “tergoda dengan tarikan industri berlian seawal usia kanak-kanak” dan berjaya menjual berlian pertamanya pada usia 12 tahun.

Dia kini berpangkalan di New York dan memiliki perdagangan berlian sendiri.

Siapa pelanggannya dan apa jenis berlian yang dijual?

Samer mempunyai senarai pelanggan eksklusif di kalangan selebriti seperti Oprah Winfrey, model Naomi Campbell, Angelina Jolie dan Paris Hilton, serta beberapa anggota keluarga diraja.

Antara berlian yang dijualnya adalah emerald 65-carat “Vivo Per Lei” yang pernah menjadi milik bangsawan Eropah, serti berlian 75-carat berbentuk hati “The Beating Heart”.

Laman web Samer menjelaskan keunikan “The Beating Heart” – dia sendiri akan “menilai permintaan yang dihantar untuk memilikinya, dan akan memilih pembeli yang mempunyai ‘niat hati yang bersih’”.

Di mana dan bagaimana untuk membelinya?

Menurut laman webnya lagi, Samer keberatan untuk “melambakkan pasaran dengan ciptaannya”.

“Samer menghargai privacy dan ironinya, di sebalik kejayaannya, dia sengaja kekal elusif.

“…Setiap urus niaga dikendalikannya satu demi satu, tanpa penglibatan pihak ketiga dan dia menegaskan aspek ini tak akan berubah.

“Maka Samer menawarkan tontonan secara tertutup atas permintaan,” kata laman itu lagi.

Cubaan Malaysiakini untuk memasuki bahagian “tontonan tertutup” di laman itu gagal kerana ia dilindungi kata laluan.

Bagaimanapun Samer tetap memiliki kedai di lima lokasi, iaitu New York, London, Cannes, Riyadh dan Kuala Lumpur di Starhill Gallery.

Tentang Lina Hassib Halimeh, pemegang saham terbesar Global Royalty

Terdapat satu laman web untuk perniagaan berlian bernama “Lina Halimeh Diamonds”.

Menurut laman itu, Lina Halimeh Diamonds berpangkalan di New York, Los Angeles, London, Abu Dhabi, Dubai dan Beirut.

Di bahagian “Berita”, terdapat satu seksyen bertajuk “Samer Halimeh New York”, dengan penerangan tentang perniagaan butik utama Samer di sana.

Sama seperti laman web Samer, bahagian “Katalog” dan “Inventori” laman Lina Halimeh juga memerlukan kata laluan.

Apakah wujud hubungan antara Samer Halimeh dan Lina Halimeh?

Pada masa ini, tidak jelas sama ada wujud hubungan antara “dua Halimeh” ini. Malaysiakini tidak dapat menemui sebarang bukti sah berhubung hubungan mereka selain daripada saman terhadap Rosmah.

Apa lagi yang boleh diketahui?

Pada masa ini hanya ini saja yang dapat ditemui Malaysiakini berhubung syarikat di sebalik saman terhadap Rosmah.Maklumat lain tentang Global Royalty dan tokoh utama dalam saman itu pasti akan terdedah dengan perjalanan kes itu.

Sumber: malaysiakini

Kiniguide ini disediakan oleh GERALDINE TONG.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *